
Bengkoka, 28 Jun 2025 – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Timbalan Ketua Menteri I, merangkap
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah hari ini secara rasmi telah melancarkan Gerakan Pilihan Raya N2 Bengkoka serta merasmikan Pejabat Parti dan Dewan Gapari STARSABAH N2 Bengkoka, dalam satu majlis yang menyaksikan kehadiran lebih 1,500 orang penyokong sejak awal pagi.
Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh penting:
YB Dato Sri Ruddy Awah, ADUN N3, Pembantu Menteri Pembangunan Luar BandarPenyelaras GRS Parlimen P.167 Kudat, Dr. Paul Porodong, Penyelaras Parlimen Kota Marudu & Pengarah Strategi STARSABAH, Puan Beverley Koh, Naib Presiden STARSABAH & Ketua Bahagian Kawang, Encik Mohd Lin Haji Harun, Naib Presiden STARSABAH & Ketua Bahagian Usukan Encik Anuar Ghani, Ketua Penerangan STARSABAH, Professor Datuk Dr Mediyem Layapan, Pengurus Besar LPBS serta Ketua-ketua Bahagian STARSABAH seluruh Sabah
Sokongan turut diberikan oleh pimpinan parti komponen GRS seperti PGRS, PBS, dan SAPP, menjadikan majlis ini simbol solidariti dan kekuatan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.

Dato Ruddy Awah, dalam ucapannya menyatakan rasa syukur dan teruja melihat semangat serta kesiapsiagaan jentera STARSABAH Bengkoka, sambil mengumumkan hasratnya untuk memanggil semua pemimpin komponen GRS di kawasan tersebut bagi membentuk satu persepakatan.
“Siapa pun calon yang dipilih nanti, kita semua mesti bersatu menyokong agar Bengkoka menjadi milik GRS pada PRN akan datang,” tegas beliau penuh yakin.
Sementara itu, Dr. Jeffrey G. Kitingan turut meluahkan rasa terharu atas sambutan luar biasa rakyat Bengkoka, dan menyifatkan kehadiran hari ini sebagai isyarat jelas kekuatan rakyat bersama STARSABAH.

“Kalau setiap yang hadir hari ini membawa tiga lagi penyokong, kemenangan pasti milik kita. Tiga orang yang benar-benar percaya dan berjuang bersama, cukup untuk mengubah keputusan pilihan raya,” katanya disambut sorakan hadirin.
Beliau turut mengimbau sejarah perjuangannya yang konsisten dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, termasuk isu royalti minyak, hasil negeri, dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam nada tegas namun berinspirasi, beliau menyeru generasi muda untuk tidak melupakan perjuangan ini:
“Anak muda Sabah harus terus bangkit dan mempertahankan hak kita sebagaimana termaktub dalam MA63. Ini bukan perjuangan saya seorang, ini perjuangan seluruh rakyat Sabah,” katanya penuh semangat.
Majlis ini turut menampilkan konvoi pemotoran membawa bendera STARSABAH mengiringi ketibaan Presiden, mencetuskan gelombang semangat di kalangan penyokong yang membanjiri kawasan program sejak awal pagi.
Dalam ucapan Ketua Bahagian merangkap Pengerusi Penganjur, Maklin Masiau, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program dan menyatakan keyakinan bahawa STARSABAH kini memimpin perubahan di Bengkoka, selari dengan slogan perjuangan parti.



