LAWATAN AMAL PENYELARAS PARLIMEN P175 PAPAR STAR SABAH KEPADA MANGSA KEBAKARAN DI KG KOPIMPINAN

Limbahau, 6 Jun 2025 – Satu lawatan amal telah diadakan oleh Penyelaras Parlimen STAR Sabah bagi menyalurkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran yang melibatkan sebuah rumah warisan keluarga di Kampung Kopimpinan, Limbahau.

Kejadian kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 malam, melibatkan sebuah rumah peninggalan milik keluarga besar mendiang Amatus Roman, abang kepada YBhg. Datuk Cladius Roman, Pengerusi Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah. Rumah tersebut tidak berpenghuni semasa kejadian, dan tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Menurut hasil siasatan awal daripada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, punca kebakaran dipercayai berpunca daripada lintar pintas elektrik. Pasukan Bomba dari Balai Bomba Papar tiba sejurus menerima panggilan kecemasan dan berjaya mengawal kebakaran, namun api telah merebak dengan cepat menyebabkan kemusnahan keseluruhan struktur rumah. Anggaran kerugian mencecah RM500,000.

Sebagai tanda solidariti dan keprihatinan, YBhg. Datuk Cladius Roman, selaku Penyelaras Parlimen STAR Sabah Papar, telah hadir menyerahkan bantuan kepada KK Anthony A. Roman, Bendahari Penyelaras Papar yang juga wakil kepada keluarga besar mangsa. Turut hadir dalam lawatan ini ialah Beverley Koh, Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian N28 Kawang; Lawrence Anjuman, Ketua Bahagian N27 Limbahau; serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Penyelaras Parlimen Papar yang turut sama menunjukkan sokongan moral kepada keluarga terkesan.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program kemasyarakatan anjuran Jawatankuasa Penyelaras Parlimen Papar, yang diterajui oleh Datuk Cladius Roman, bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah serta memberi dorongan semangat kepada masyarakat.

Pihak Jawatankuasa turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berwaspada dan melakukan pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian elektrik di rumah masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Comments are closed.