STAR BENGKOKA Mantap Hadapi PRN17, Jentera Siap 90%, Sedia Bertanding Jika Diberi Peluang

PITAS, 11 Jun 2025 – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.2 Bengkoka kini berada pada tahap kesiapsiagaan hampir sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17), dengan penglibatan aktif dalam Kursus Jentera Pilihan Raya yang berlangsung di Dewan Belia (KBS), Pitas.

Kursus intensif ini menghimpunkan seramai 107 peserta mewakili hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan Bengkoka, menjadikannya antara latihan jentera paling menyeluruh setakat ini. Hanya satu PDM tidak dapat menghantar wakil atas faktor teknikal.

Antara pimpinan utama yang hadir memberikan pengisian ialah:

  • YB Senator Datuk Edward Linggu. J, Setiausaha Agung STAR Sabah
  • Datuk Jalumin Bayogoh, Pengarah Komunikasi STAR Sabah
  • Tuan Terence Sinti, Setiausaha Penganjur merangkap Ketua Bahagian Kiulu
  • Maklin Masiau, Ketua Bahagian STAR N.2 Bengkoka

Modul Latihan Menyeluruh, Relevan dengan Isu Terkini

Kursus ini merangkumi enam modul utama merangkumi strategi teknikal dan kefahaman politik semasa:

  1. PACABA (Polling Agent, Counting Agent & Barung Agent)
  2. Aplikasi Pengesanan Pengundi
  3. Culahan Data dan Strategi Sasaran
  4. Pengurusan Pengundi Luar Kawasan
  5. Pengurusan Markas & Sub-Markas
  6. Analisis Senario Politik PRN17 Negeri Sabah

Fokus utama kursus adalah menjadikan setiap jentera bukan sahaja bersedia secara teknikal, tetapi memahami sentimen dan keperluan semasa rakyat – terutama isu kenaikan kos sara hidup, pembangunan luar bandar yang tidak seimbang, serta tuntutan rakyat Sabah terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jentera pilihan raya adalah WAJIB. Masuk bertanding tanpa pasukan yang kuat adalah langkah menuju kekalahan. Kursus ini menyegarkan semula kemahiran petugas serta meniupkan semangat juang di tengah ketidaktentuan politik dan keresahan rakyat,” tegas Maklin Masiau, Ketua Bahagian STAR Bengkoka.

Inovasi Teknologi & 90% Kesiapsiagaan

Dalam usaha mempertingkat kecekapan gerak kerja, STAR Bengkoka turut memperkenalkan sistem Enjin Pencarian Data Pengundi secara offline – satu pendekatan strategik untuk memperkemas culahan data dan menyasarkan komunikasi kempen dengan lebih berfokus.

Kami kini berada pada tahap 90% kesiapsiagaan. Selepas kursus ini, jentera akan dilancarkan secara rasmi oleh Presiden Parti STAR Sabah, diikuti pelancaran markas utama kempen,” tambah Maklin.

Calon Mesti Pilihan Rakyat, Bukan Elit Politik

Mengulas soal pencalonan, Maklin menegaskan bahawa STAR Bengkoka bersedia menyertai PRN17 sekiranya diberi mandat oleh pucuk pimpinan. Namun, calon yang diketengahkan mestilah mendapat keyakinan akar umbi.

“Kami bersedia bertanding jika diberi peluang. Tapi calon mesti pilihan rakyat – bukan ‘parachute’, bukan nama besar yang hanya muncul waktu PRN. Calon mesti benar-benar bersama rakyat di lapangan.”

Setia pada Perjuangan MA63 & Kepimpinan Presiden

Maklin turut mengulangi komitmen STAR Bengkoka terhadap perjuangan asal parti, khususnya dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah MA63, yang semakin menjadi isu kritikal di kalangan rakyat negeri ini.

“Saya bersama rakyat melalui pelbagai program akar umbi, dan menyokong penuh usaha Datuk Presiden Dr. Jeffrey G. Kitingan dalam memperjuangkan otonomi Sabah dan pelaksanaan MA63 secara menyeluruh,” jelasnya.

Menjawab spekulasi politik dan kemungkinan percubaan pihak luar menggugat kestabilan dalaman parti, Maklin memberi jaminan bahawa jentera STAR Bengkoka berada dalam keadaan mantap dan bersatu.

Ini adalah jentera milik akar umbi. Bukan boleh dibeli, bukan boleh digugat. Kami stabil dan sedia menyahut apa jua cabaran PRN17.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, penceramah dan petugas yang menjayakan kursus ini, serta menyeru seluruh jentera agar terus kekal disiplin dan bersemangat tinggi.

Rakyat sedang menilai kita. Jangan leka. Kita bukan hanya membawa nama parti, tetapi membawa harapan Sabah.” tegas beliau

Comments are closed.