
Kota Kinabalu, 12 Jun 2025 — Satu sesi libat urus penting berhubung Penetapan Dasar Rang Undang-Undang Pendanaan Politik peringkat Negeri Sabah telah diadakan hari ini di Sabah International Convention Centre (SICC). Program ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem politik negara.
Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah) turut mengambil bahagian dalam sesi ini, yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya, YB Senator Datuk Edward Linggu. Beliau hadir bersama barisan kepimpinan utama parti, termasuk Dr. Paul Porodong (Pengarah Strategi), Anuar Ghani (Ketua Penerangan), dan Prem Beachile Kitingan (Penolong Setiausaha Agung).
Penyertaan STARSabah dalam sesi ini mencerminkan komitmen berterusan parti tersebut dalam menyokong agenda reformasi politik, khususnya berkaitan pendanaan politik yang lebih telus, beretika dan bertanggungjawab di peringkat negeri.
Dalam satu kenyataan, Anuar Ghani menegaskan bahawa penglibatan STARSabah merupakan manifestasi sokongan terhadap usaha membendung gejala rasuah politik serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya dan pentadbiran negeri.
“Inisiatif sebegini amat penting dalam membina ekosistem politik yang bersih, adil dan mampan. Kami berharap dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan demi masa depan Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya,” ujar beliau.
Sesi libat urus ini turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil-wakil parti politik, pertubuhan masyarakat sivil dan pakar undang-undang. Matlamat utama adalah untuk mengumpul pandangan, cadangan dan maklum balas dalam usaha merangka dasar pendanaan politik yang komprehensif serta sesuai dengan konteks dan keperluan Negeri Sabah.
Dengan terlaksananya sesi ini, diharapkan satu rangka kerja undang-undang yang lebih kukuh dan menyeluruh dapat dibentuk bagi menjamin integriti dan ketelusan dalam pembiayaan parti politik, seterusnya memperkasakan sistem demokrasi negara.

credit: Karen Cassandra (Pegawai Khas Kepada YB Senator Datuk Edward Linggu)