
KOTA KINABALU, 29 Mei – Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH), Anuar Ghani membidas kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyelar perjuangan parti-parti tempatan, khususnya Presiden STARSABAH, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Menurut Anuar, kenyataan Bung Moktar itu memperlihatkan kegelisahan sebenar UMNO Sabah terhadap kebangkitan suara rakyat yang semakin mahukan perubahan sebenar — bukan sekadar janji politik yang telah diulang sejak berdekad lamanya.
“Cukup-cukuplah menyembunyikan ketakutan politik di sebalik retorik nasional. Hakikatnya, UMNO Sabah semakin terdesak apabila rakyat mula sedar bahawa masa depan Sabah harus ditentukan oleh orang Sabah sendiri, bukan melalui telunjuk parti dari Semenanjung,” katanya ketika ditanya media.
Anuar turut membidas kenyataan Bung yang menyebut tentang kewujudan 19 parti tempatan yang kononnya gagal disatukan, dan menyifatkan ia sebagai manipulasi fakta yang disengajakan.
“Persoalan sebenar ialah – siapa yang meluluskan dan mendaftarkan begitu banyak parti tempatan dalam tempoh singkat? Siapa di belakang pendaftaran ini kalau bukan tangan-tangan dari pusat yang mahu melihat rakyat Sabah terus berpecah dan lemah supaya mudah dikawal?
”Ini adalah taktik ‘Divide and Rule’ warisan kolonial yang kini digunakan semula oleh Malaya terhadap Sabah – pecah dan perintah menjadi amalan malaya sejak sekian lama. Mereka tahu jika suara rakyat Sabah bersatu, pengaruh politik pusat akan terancam,” tegas beliau.
Beliau berkata, setiap kali pilihan raya menjelang, suara parti-parti pusat seperti UMNO akan kembali berkumandang di Sabah dengan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat.“Tetapi hakikatnya selepas mereka menang, janji-janji itu lenyap. Hak rakyat Sabah terus dinafikan, kemiskinan kekal, dan pembangunan yang dijanjikan sekadar tinggal retorik,” ujar Anuar.
Anuar turut mendedahkan bahawa Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan pernah memohon menyertai UMNO, namun ditolak kerana kelantangannya memperjuangkan isu-isu rakyat Sabah, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hasil bumi negeri, serta kuasa autonomi.
“Fakta ini disembunyikan oleh Bung. Mereka tahu Dr. Jeffrey tidak akan tunduk kepada telunjuk pusat. Kelantangan beliau tidak selari dengan agenda mereka — sebab itulah ditolak,” jelasnya.
Menyentuh soal konsistensi perjuangan, Anuar berkata pihak yang menuduh pejuang lokal sebagai ‘bertopengkan survival’ sebenarnya adalah mereka yang sering menukar pendirian politik demi kelangsungan kuasa.
“Yang dituduh bermain dengan sentimen kenegerian ini konsisten memperjuangkan hak Sabah, sementara yang menuduh pula sering menukar prinsip mengikut musim politik. Siapa sebenarnya yang bermain wayang?”
Mengulas 30 tahun pemerintahan UMNO di Sabah, Anuar mempersoalkan pencapaian sebenar mereka terhadap rakyat negeri ini.
“Mereka ulang slogan kestabilan dan pengalaman, tapi apa hasilnya? Infrastruktur ketinggalan, peluang pekerjaan terbatas, dan suara negeri sentiasa diketepikan. Sabah dijadikan makmal politik, bukan rakan setaraf dalam Persekutuan,” katanya.
Anuar menegaskan bahawa Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan tidak pernah menjual maruah negeri demi jawatan dan konsisten memperjuangkan suara rakyat Sabah baik di peringkat negeri mahupun nasional.
“Pemimpin seperti beliau yang menakutkan mereka kerana beliau tidak boleh dikawal. Rakyat hari ini lebih celik dan mereka tahu siapa yang benar-benar memperjuangkan hak Sabah, dan siapa yang sekadar menjadi boneka politik pusat,” katanya lagi.