
KOTA KINABALU, 12 Mac 2025 – Dunia politik Sabah mencatat sejarah baharu apabila dua parti utama berasaskan perjuangan orang asal, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), bersetuju untuk bergabung secara rasmi.
Penggabungan ini bakal melahirkan sebuah entiti politik baharu yang dinamakan PBSTAR (Parti Bersatu Sabah Tanah Airku), sekali gus memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) the Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) hujung tahun ini.
Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, dalam satu wawancara eksklusif, berkata usaha penyatuan kedua-dua parti ini sudah lama dirancang, dan kini proses formal penggabungan sedang dimuktamadkan.
“Kami sedang berusaha untuk mempercepatkan proses ini dan melaksanakannya sebelum pilihan raya. Kami telah mengadakan perbincangan dengan kedua-dua majlis tertinggi, dan ya, PBS telah bersetuju untuk saya memimpin“.
“Kami telah menguji perkara ini di Tambunan, di mana saya merupakan ketua bahagian, manakala Daniel adalah timbalan,” katanya, merujuk kepada Ketua Bahagian PBS Tambunan, Datuk Daniel Kinsik.
PBSTAR Simbol Penyatuan Anak Negeri Sabah
Menurut Dr. Jeffrey, walaupun PBS dan STAR secara tradisinya berakar umbi dalam memperjuangkan nasib masyarakat orang asal Sabah, PBSTAR akan menjadi sebuah parti inklusif yang membuka ruang kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama mahupun budaya.
“PBSTAR adalah untuk semua tanpa mengira kaum agama mahupun budaya negeri ini. Sudah tiba masanya politik Sabah dikawal dan ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri, tanpa pengaruh luar,” tegas beliau.
Perkukuh GRS Menuju PRN17
Penggabungan ini dilihat sebagai satu langkah strategik untuk memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). PBSTAR dijangka memainkan peranan sebagai tulang belakang baharu dalam memastikan kestabilan politik negeri dan memberikan GRS kelebihan besar dalam menghadapi PRN17.
Dr. Jeffrey turut menegaskan bahawa penggabungan ini adalah lanjutan kerjasama erat antara PBS dan STAR sejak PRN16 lalu, namun kini ia dinaik taraf menjadi sebuah entiti yang lebih mantap mewakili semua masyarakat bangsa dan agama di bawah satu panji bersama.
“Kita mahu elakkan perpecahan undi dalam kalangan masyarakat orang asal negeri Sabah. Dengan PBSTAR, rakyat diberi pilihan lebih kukuh, manakala GRS akan menjadi lebih stabil sebagai kerajaan negeri yang sah,” jelas beliau.
Rundingan Pembentukan PBSTAR Dipercepat
Dr. Jeffrey turut memaklumkan bahawa jawatankuasa khas akan ditubuhkan bersama PBS untuk membincangkan struktur serta terma penggabungan. Nama rasmi parti baharu itu masih dalam pertimbangan, walaupun ‘PBSTAR’ sudah dipersetujui sebagai nama cadangan.
“Kami juga telah maklumkan kepada pucuk pimpinan GRS mengenai perkembangan ini. Setakat ini, penerimaan rakyat sangat positif dan ini mungkin membuka ruang kepada parti lain untuk turut serta dalam gabungan ini,” tambahnya.
Fokus Perjuangan: Hak Sabah & Pembangunan Menyeluruh
Dengan pembentukan PBSTAR, Dr. Jeffrey yakin suara Sabah dalam rundingan dengan kerajaan Persekutuan akan lebih kuat, khususnya berkaitan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), royalti minyak dan gas, serta pelaksanaan pembangunan saksama untuk seluruh negeri.
“PBSTAR akan membawa suara rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri ini. Kami mahu pastikan semua kaum di Sabah menikmati arus pembangunan yang sama,” katanya.
Penubuhan PBSTAR juga dilihat sebagai usaha rakyat Sabah memimpin sendiri haluan politik negeri ini tanpa pengaruh parti-parti dari Semenanjung.
“Ini adalah mesej jelas bahawa rakyat Sabah mahu masa depan mereka ditentukan oleh anak negeri sendiri. PBSTAR adalah simbol penyatuan ini,” ujar Dr. Jeffrey.
PBS, yang diasaskan pada 1985, pernah menjadi parti peribumi paling dominan di Sabah. Namun, sejak awal 1990-an, politik negeri sering diganggu oleh pergolakan dalaman dan budaya lompat parti yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan KDMR. Kini, melalui PBSTAR, diharapkan penyatuan ini mampu menjadi landasan baharu memperkasa politik tempatan.
Dengan PBSTAR menjadi komponen utama GRS, keyakinan semakin memuncak bahawa gabungan ini mampu meraih kemenangan besar dalam PRN17, sekaligus memastikan Sabah kekal stabil dan makmur di bawah kepimpinan anak jati negeri.
“Kami percaya, dengan PBSTAR, rakyat Sabah akan kembali bersatu. Inilah masa kita, anak negeri Sabah, menentukan arah tuju tanah air kita sendiri,” ujar Dr. Jeffrey penuh keyakinan.
PBSTAR dilihat bukan sekadar satu penggabungan parti, tetapi lambang perjuangan rakyat Sabah untuk memperkukuh suara tempatan, mempertahankan hak negeri, dan membina masa depan yang lebih adil untuk semua.
-Alex Rubbin