UNITY IS DUTY, PEMIMPIN DAN RAKYAT PERLU BERSATU UNTUK MENCAPAI MATLAMAT PEMBANGUNAN – KITINGAN

KOTA KINABALU | 20 November 2027

Timbalan Ketua Menteri I Sabah berkata tema penggulungannya kali ini ialah “Unity is Duty”, menekankan bahawa tindakan bersatu adalah tanggungjawab dan tugas bersama antara pemimpin, barisan pembangkang dan seluruh rakyat demi mencapai matlamat pembangunan negeri Sabah.

Sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan beliau menjelaskan bahawa peruntukan yang telah diterima oleh Kementeriannya pada tahun 2024 adalah sebanyak RM363.91 juta bagi Perbekalan dan RM143.98 juta untuk Pembangunan.

Jelasnya, berdasarkan kepada belanjawan 2025, Kementeriannya telah diperuntukkan sebanyak RM373.24 juta bagi Perbekalan dan RM148.13 juta untuk tujuan Pembangunan.

Oleh itu katanya, peratusan peningkatan peruntukan Perbekalan tahun 2025 adalah sebanyak 2.49 peratus berbanding 2024. Manakala terdapat peningkatan berjumlah RM4.15 juta iaitu 2.8 peratus dalam peruntukan Pembangunan tahun 2025 berbanding tahun 2024.

Kitingan amat kecewa atas peningkatan yang amat kecil dalam peruntukan Pembangunan bagi tahun 2025, sedangkan perancangan untuk membangunkan sektor pertanian dan menyelesaikan masalah berkaitan memerlukan peruntukan yang besar.

Menurutnya sektor pertanian sebagai salah satu daripada tiga fokus utama pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang juga mempunyai potensi tinggi dalam menjana pendapatan negeri, mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu mengatasi kemiskinan terutama di kalangan miskin tegar, seharusnya mendapat peruntukan yang ditingkatkan agar konsisten dengan keperluan dan agenda pembangunan negeri.

Selaras dengan dasar keterjaminan makanan di peringkat kebangsaan dan negeri, Kementerian memfokus kepada peningkatan Self Sufficiency Rate (SSR) untuk pengeluaran padi, ruminan dan hasil-hasil pertanian yang lain.

Kementerian juga berusaha untuk mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap bahan asas makanan yang diimport, melalui peningkatan pengeluaran hasil pertanian tempatan.

“Kementerian saya turut berusaha meningkatkan tahap sosio-ekonomi golongan sasar Kementerian iaitu petani, penternak dan nelayan yang tergolong dalam kategori Miskin dan Miskin Tegar. Oleh itu, pelbagai program pembangunan telah dirancang dan cuba dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di bawah Kementerian saya, namun terbantut akibat kekangan kewangan.

“Sebagai contoh, Setakat 7 November 2024, Kementerian saya telah menerima permohonan menaiktaraf atau menyelenggara jalan-jalan pertanian daripada pelbagai daerah di seluruh Sabah bernilai RM40.3 juta, namun Kementerian saya hanya menerima peruntukan sebanyak RM4.2 juta.

“Begitu juga dengan permohonan LPBS, iaitu berjumlah RM27.5 juta dan hanya diluluskan RM2.5 juta. Beginilah sikap dan pandangan pembuat keputusan terhadap permohonan dan keperluan kita dalam agenda pertanian dan keterjamianan makanan. Namun saya telah merayu kepada Jemaah Menteri untuk mempertimbangkan semula RM30 juta daripada peruntukan RM600 juta interim untuk pembangunan industri padi di Sabah dan peruntukan untuk pembangunan padi dalam bajet ini. Dengan peruntukan ini, Kementerian saya yakin meningkatkan SSR padi kepada 30 peratus tahun 2027 dan seterusnya 60 peratus menjelang 2030,” katanya

Menurutnya, walaupun menghadapi kekangan kewangan, Kementeriannya bersama jabatan dan agensi di bawahnya telah membuat perancangan untuk mencapai keterjaminan makanan.

Antara tumpuan Kementerian ialah meningkatkan pengeluaran padi dan Kadar Sara Diri (SSR). Dalam usaha ini, Lembaga Padi dan Beras Sabah telah ditubuhkan (diwartakan melalui Warta Kerajaan Negeri Sabah pada 23 Mei 2024) bertujuan memodenkan industri padi dan beras dengan peruntukan berjumlah RM32.5 juta. Dalam jangka masa dua hingga tiga tahun iaitu menjelang 2027, adalah diharapkan agar SSR padi akan meningkat ke 30 peratus dan seterusnya 60 peratus menjelang 2030.

Kitingan berkata, “Bagi mencapai matlamat, dasar dan visi Kerajaan termasuk sektor pertanian, kita tidak boleh mengamalkan mentaliti dan sikap iaitu BAU business as usual kerana Albert Einstein menyatakan bahawa insanity is doing the same thing over and over again and expecting different result.”

“Kita perlu berfikir di luar kotak (think outside the box) dan membuat perubahan dari segi sikap dan tindakan, bukan seperti yang kita lihat sekarang.

“Tiada guna kita merancang agenda pembangunan yang besar tetapi tidak memberi sokongan dan peruntukan yang setimpal, kerana ia hanyalah impian.

“Kita akan gagal mencapai matlamat kita sekiranya kita terus bersikap sedemikian.

“Jika kekangan kewangan menjadi penghalang, carilah penyelesaian yang kreatif. Satu daripadanya adalah menarik pelaburan, yang kedua, carilah sumber kewangan yang baru, ketiga, yang paling penting sekali adalah mendapat kembali hak-hak kewangan kita termasuk 40 peratus hasil kewangan, 10 peratus duti eksport dan produk petroleum.

“Hak kewangan 40 peratus bukanlah sedikit dan bukan RM600 juta tetapi dalam kiraan saya, dalam tahun ini sahaja, adalah lebih kurang RM20 billion. Bukankah jumlah ini worth fighting for?

“Jika kita berjaya, ini akan mampu menyelesaikan keperluan dan masalah pembangunan kita. Kita hanya boleh berjaya sekiranya kita bersatu dan bekerjasama untuk menuntut hak kita sama ada di sebelah sini atau di seberang sana atau rakyat di luar sana, kita perlu bersatu.

“Dalam perkara ini, unity is duty. Kita tidak boleh berharap dengan orang lain untuk menuntut hak kita, sebab mereka tiada hati untuk kita.

“Kita perlu bersatu, kerana kalau bukan kita siapa lagi?

“Sebagai contoh, sekiranya kita menginginkan pembangunan dan kemajuan, kita perlu mengambil tindakan iaitu menyediakan kewangan yang setimpal dan melaksanakan tindakan yang efektif. Jika kekangan kewangan menjadi penghalang, saya secara peribadi melihat perkara ini sebagai keterbatasan yang menghadkan pembangunan masyarakat.

“Oleh itu, kita perlu bersatu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap keterbatasan tersebut.

Kitingan berkata, antara jalan penyelesaian tersebut ialah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pemimpin dan rakyat mesti bersatu untuk menuntut hak kewangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan kewangan tersebut adalah hak Sabah.

“Inilah masanya kita perlu bersatu hati dan mengambil tindakan bersama untuk menuntut hak kewangan tersebut. Saya menganggarkan bahawa nilai yang berhak diperolehi oleh kita pada tahun ini adalah lebih kurang RM20 billion.

Menurut Kitingan sikap pemimpin dan Kerajaan Pusat masih berada di takuk lama iaitu business as usual. Sebagai contoh, peruntukan Pembangunan Negeri Sabah dan Sarawak hanyalah 6 hingga 7 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan.

“Sebahagian besar peruntukan Pembangunan masih lagi Malaya Centric iaitu peruntukan Pembangunan tertumpu di wilayah semenanjung.,” ujarnya.

Kitingan menjelaskan bahawa daripada RM86 billion peruntukan Pembangunan keseluruhan, RM73.4 billion diperuntukkan untuk wilayah Semenanjung dan hanya RM6.7 billion wilayah Sabah dan RM5.9 billion wilayah Sarawak.

Selain itu, projek tebatan banjir juga boleh dijadikan contoh keperluan peruntukan untuk pembangunan negeri yang amat besar namun, peruntukan yang diluluskan adalah kecil.

Sementara itu, di bawah RMK-12, bagi kerja-kerja tebatan banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah telah memohon sebanyak RM733.5 juta dan hanya RM131.5 juta yang diluluskan.

Jelasnya lagi Kementeriannya, melalui DVS, telah mengemukakan permohonan peruntukan bagi Projek Transformasi Tenusu Sabah berjumlah RM60 million, namun tidak diluluskan, iaitu tidak menerima sebarang peruntukan.

Projek seumpamanya telah wujud sejak RMKe-6 lagi, namun tidak diteruskan di bawah RMKe-12. Oleh itu, tidak ada penambahan baka induk dan penjantan tenusu import di Sabah sepanjang tempoh RMKe-12 (2021-2025).

Kitingan akhiri dengan berkata, matlamat dan visi Kerajaan dalam sektor pertanian tidak akan tercapai dengan berkesan sekiranya kaedah dan pendekatan yang lama masih diamalkan.

Penggunaan kaedah konvensional dalam sektor pertanian perlu digantikan dengan teknologi moden bagi membolehkan pengeluaran berskala besar secara efficient dilaksanakan. Walau bagaimanapun, kaedah konvensional boleh diintegrasi dengan teknologi moden dalam meningkatkan hasil pertanian.

Dengan itu katanya, rakyat juga perlu berubah supaya mengadaptasikan pemodenan dalam sektor pertanian, mengamalkan commercial minded untuk meningkatkan pengeluaran industri padi dan bukan setakat hanya untuk memenuhi keperluan sara diri (SSR).

G-Admin

+6

Comments are closed.